NILAI – Jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berhasrat membuat pembaharuan teknik taktikal dalam kayuhannya sebagai persiapan menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATCC) 2023 di New Delhi, India pada 18 hingga 22 Jun ini.
Pelumba berusia 26 tahun itu berkata, beliau akan berbincang mengenai perkara berkenaan bersama ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan John Beasley yang akan tiba di Malaysia minggu depan.
“Saya belum jumpa dia (John Beasley), minggu hadapan jurulatih akan sampai Malaysia…bagus juga apabila kejohanan diadakan di sini (Malaysia), saya boleh mencuba teknik baharu seperti cuba berada di hadapan semasa perlawanan.
“Untuk peringkat antarabangsa susah untuk saya cakap (pencabar utama) namun teknik taktikal yang saya guna banyak membantu. Saya juga mengaku kelemahan yang perlu dibaiki adalah untuk berada di hadapan namun kelebihan saya adalah long sprint,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraih pingat emas acara keirin lelaki Kejohanan Trek Kebangsaan 2022 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan di sini, semalam.
Muhammad Shah Firdaus yang mewakili Johor menamatkan saingan di tempat pertama diikuti pelumba Selangor Muhammad Fadhil Zonis di tempat kedua dan Muhammad Ridwan Shahrom yang turut mewakili Johor di tempat ketiga.
Dalam pada itu, pelumba dari Sabah Lim Chun Kiat mengekalkan kejuaraannya dua tahun berturut-turut dalam acara kejar-mengejar individu 4,000 meter (m) kategori elit lelaki.
Chun Kiat mencatatkan empat minit 31.530 saat (s) untuk meraih emas, diikuti pelumba Sarawak Muhammad Luqman Daniel Mohamad Roji (4:40.391s) meraih perak manakala Mohamad Faiz Fakhri Omar dari Perak meraih gangsa (4:40.848s). – Bernama