Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (tengah) menyerah pakaian sekolah kepada Anak Yatim Asrama PERKAYA Marang pada Majlis Malam Prihatin Insan ajuran Yayasan MYPRIHATIN menyerahkan pakaian sekolah hasil keluaran daripada peserta Projek PRIHATIN kepada pelajar anak yatim dan golongan kurng bermampuan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 28 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,000 pelajar asnaf, golongan kelainan upaya (OKU) dan anak yatim daripada 20 buah sekolah seluruh negara menerima sumbangan dua pasang pakaian sekolah daripada Yayasan MyPrihatin.

Penyerahan disempurnakan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang berkenan mencemar duli hadir pada Majlis Malam Prihatin Insan yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.

Dalam majlis yang sama, seramai 20 orang anak yatim penghuni  Asrama PERKAYA dari Marang, Terengganu turut hadir menerima sumbangan pakaian sekolah.

Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ketika menyampaikan ucapannya berkata, bantuan yang diserahkan ini merupakan kesinambungan keprihatinan pihaknya dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Ini merupakan  kesinambungan kepada usaha MyPrihatin dalam menyumbang kepada masyarakat juga meraikan anak yatim Asrama PERKAYA.

“Ini merupakan kumpulan pertama yang dijemput. Mereka ini tidak pernah datang ke KL. Insyallah kita akan teruskan usaha ini dan pergi ke Terengganu dan mengenal pasti beberapa lagi sekolah dan rumah anak-anak yatim dan beri bantuan,” katanya.

Menurut beliau, uniknya pakaian sekolah yang diserahkan pada malam ini adalah hasil jahitan golongan ibu tunggal dan suri rumah  kurang berkemampuan yang menyertai Program Jana  Ekonomi Prihatin (Projek Prihatin).

“Mereka ini menyertai projek yang merupakan usahasama antara Yayasan Prihatin dengan PruBSN Prihatin sejak 2019,” kata beliau.

Tambah beliau, sejak pandemik Covid-19 melanda negara Yayasan Prihatin dan PruBSN Prihatin bekerjasama menghasilkan pakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan membantu memastikan keselamatan barisan hadapan.

Sementara itu, Halimaton menyuarakan hasratnya untuk membuka Pusat Latihan Projek Prihatin di Terengganu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Nur Zahirah demi terus membantu golongan wanita menjana pendapatan.

“Pusat untuk dijadikan pusat kemahiran jahitan di kalangan wanita muda kurang berkemampuan insya-Allah mereka akan gunakan kemahiran itu untuk menjana pendapatan di masa akan datang,” katanya.

Yayasan MyPrihatin merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membantu pesakit jantung kronik kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan dan asnaf menerusi Prihatin Kesihatan-Program MyHeart. – MalaysiaGazette