Home Utama Instafamous disyaki anjur tarian separuh bogel pondan ditahan polis

Instafamous disyaki anjur tarian separuh bogel pondan ditahan polis

 

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang selebriti media sosial (instafamous) dikenali Cik Lala pada Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dengan penganjuran majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disyaki bertanggungjawab menempah khidmat tarian separuh bogel yang dilakukan oleh sekumpulan pondan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, insiden itu viral di laman sosial membabitkan tarian separuh bogel oleh penari pondan serta pembakaran bunga api di Centralwalk I-City, Shah Alam.

Katanya, polis menerima satu laporan polis pada 28 Mei lalu setelah mendapat whatsapp tular mengenai aktiviti tarian separuh bogel yang dilakukan oleh penari pondan dan pembakaran bunga api di dewan Unit B-Ug-12 Upper Grand Floor.

“Pengadu dalam laporan polis itu mendakwa penganjuran aktiviti kurang menyenangkan mata memandang itu boleh menjatuhkan imej I-City sebagai salah satu tarikan pelancong di Selangor.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada 27 Mei lalu sekitar jam 8 hingga 11.30 malam di Dewan Unit B-Ug-12 Upper Grand Floor Centralwalk I-City yang mana sekumpulan lelaki pondan membuat tarian separuh bogel diikuti dengan muzik yang kuat serta terdapat pembakaran bunga api di kawasan awam berhampiran rumah penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Cik Lala, 27, adalah individu yang menyewa unit berkenaan dengan kos RM4,000 dengan jemputan kira-kira 50 orang kenalan rapatnya pada majlis berkenaan.

Menurut Mohd Iqbal, tarian penari pondan separuh bogel dan pembakaran bunga api tersebut dianjurkan oleh penganjur sendiri.

“Bagaimanapun bertindak atas maklumat dan laporan polis pengadu, sepasukan polis berjaya menangkap penganjur bagi majlis ini (Cik Lala) pada Ahad.

“Suspek kini sedang direman sehingga 31 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.

Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Insp Nur Syuhada ditalian 017-6942736. – MalaysiaGazette