Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Vijaya Rao A/L Samachulu menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas mengenai kes samun Kumpulan Q Peng dalam 4 kes pecah premis dan samun premis tempat simpanan mesin bitcoin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2022.

KLANG – Sebuah kilang aluminium di Kawasan Perindustrian Meru Barat, di sini, kerugian kira-kira RM180,000 selepas 188 mesin Bitcoin disamun sekumpulan individu dalam dua kejadian pada 27 April dan 20 Mei 2022.

Kumpulan samun kilang itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan polis Klang Utara dalam sembilan serbuan bersaingan, di sini, pada 26 hingga 27 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, hasil serbuan itu pihaknya berjaya menahan 12 individu termasuk seorang warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu Samun Berkumpulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau termasuk kes jenayah, dadah dan individu berstatus dikehendaki pihak polis.

Siasatan awal juga mendapati, modus operandi yang digunakan suspek ialah menyamun kilang antara 2 hingga 3 pagi, selain mengikat pengawal keselamatan yang bertugas.

Tambahnya, memandangkan pihak kilang terbabit turut melakukan perlombongan mata wang maya di samping perniagaan aluminum, namun tiada kegiatan mencuri elektrik dikesan.

“Oleh kerana Bank Negara Malaysia (BNM) dalam proses melesenkan aktiviti perlombongan Bitcoin ini, jadi tiada kesalahan dikesan dilakukan oleh pihak kilang,” jelasnya.

Katanya, pihak polis kini sedang mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam kejadian samun terbabit.

“Pihak polis sedang mengesan tiga suspek masih bebas dalam kes ini, iaitu Helman Petrus, 41, dari Kunak, Sabah; Tan Jian Fam atau Q-Peng, 37, dari Klang dan Abdul Rahim Mohammad Ali, 33, dari Kuala Kedah,” katanya.

Katanya, hasil tangkapan, rampasan dan siasatan tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun Bitcoin di kawasan Klang Utara.

“Sekiranya orang awam sebarang maklumat berkenaan aktiviti curi elektrik dalam menjalankan aktiviti Bitcoin boleh menyalurkan maklumat ke IPD Klang Utara.

“Pihak polis meminta kerjasama semua pihak bagi membantu mengekang aktiviti mencuri elektrik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette