Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan)dan Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (kiri) beramah mesra bersama Tadika Kemas Taman Uda Jaya Ampang pada Maljis Sambutan Hari Raya Risda 2022 di Ibu Pejabat Risda, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 30 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pekebun kecil dan penoreh getah yang layak boleh memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi tahun ini.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pihaknya kini sedang dalam proses pengemaskinian maklumat serta menerima permohonan baharu bagi program bantuan tersebut.

“Setiap penerima bantuan yang layak akan menerima RM600 setiap seorang, bantuan akan disalurkan sebanyak dua kali iaitu RM300 bulan November dan baki RM300 lagi pada Disember tahun ini,” katanya pada sidang media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA 2022 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mohd Salim berkata, seramai 232,319 penerima yang terjejas pendapatan mereka ketika musim tengkujuh bakal menerima bantuan tersebut menrusi peruntukan sebanyak RM191 juta.

Antara syarat yang ditetapkan ialah penoreh getah dan pekebun kecil mempunyai keluasan kebun getah antara 0.1 sehingga 2.5 hektar.

Tambah beliau, pekebun kecil dan penoreh getah dinasihatkan melayari portal melalui pautan pekebunkecil.risda.gov.my atau hadir ke pejabat RISDA berhampiran, bagi mendapatkan maklumat tepat berkenaan permohonan mereka.

Bantuan itu diharap dapat meringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas sepanjang tempoh musim tengkujuh kelak. – MalaysiaGazette