KUALA LUMPUR – Seramai 33,818 murid Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima inisiatif Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) yang pertama di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pemberian manfaat itu dibuat tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.
“Keseluruhan nilai bantuan berjumlah RM1.8 juta ini diberikan melalui peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Ia bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga serta mengatasi masalah keciciran pembelajaran agama serta meningkatkan keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam kalangan murid Kafa.
“Bagaimanapun keutamaan SPBT ini diberikan kepada anak-anak dalam kalangan asnaf dan golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Apresiasi Kunjung Serah SPBT Kafa Wilayah Persekutuan di Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, Cheras.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.
Fasa pertama skim bantuan tersebut telah selesai dilaksanakan pada Mac lalu melibatkan edaran 46,550 naskhah buku teks kepada 12,221 murid tahun satu dan dua.
Ia merangkumi tujuh subjek Kafa iaitu Adab, Akidah, Bahasa Arab, Ibadah, Jawi dan Khat, Sirah dan Tilawah al-Quran dengan keseluruhan kos bernilai RM691,005.
Katanya lagi, Jawi melaksanakan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan Pendidikan Islam dan Pengajian al-Quran dan Fardhu Ain kepada masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan melalui lima.
“Antaranya Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (Siraj), 71 Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 130 Kafa.
“Wilayah Persekutuan antara negeri yang mempelopori program SPBT Kafa meliputi semua golongan penerima,” katanya lagi. – MalaysiaGazette