Ibu (kiri) teman lelaki serta kenalan wanita didakwa dera dua beradik di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera sepasang kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun pada bulan lalu.

Tertuduh, Jenny Oon Wei Wei, 28, yang juga ibu kepada dua kanak-kanak tersebut membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Jenny Oon Wei Wei.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan penderaan dan penganiayaan terhadap dua anaknya iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun serta kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kecederaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya antara 13 hingga 27 Mei lalu di Blok J-13-8 Flat Rifle Range, Jalan Air Itam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Hakim Mazdi turut menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Ng Hang Moon, 52, dan Lim Kim Boon, 42, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penderaan ke atas dua mangsa sama pada tarikh dan waktu yang sama.

Kim Boon (kiri) dan Hang Moon diiringi polis ketika dibawa untuk pendakwaan.

Difahamkan, Kim Boon merupakan bekas teman lelaki ibu mangsa manakala Hang Moon kenalan wanita itu yang turut tinggal bersama di kediaman terbabit.

Masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurucakap dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Norsalha membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kes tersebut selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes. – MalaysiaGazette