KUALA LUMPUR –  Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah melancarkan khidmat pentaksiran zakat di kaunter, yang pertama seumpamanya di semua cawangannya di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Khidmat pentaksiran zakat ini disediakan secara percuma untuk meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatannya kepada umat Islam.

Pelanggan sedia ada Bank Muamalat dan orang ramai yang beragama Islam hanya perlu berjumpa dengan pegawai di cawangan Bank Mumalat yang berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung zakat.

Pengurusan kekayaan Islam adalah segmen yang komprehensif kerana ia meliputi lima elemen penting iaitu penciptaan kekayaan, pengumpulan, perlindungan, penyucian, dan pengagihan harta.

Bank Muamalat sedia maklum bahawa menunaikan zakat adalah antara cara untuk menyucikan harta.

Sehubungan itu, penawaran khidmat pengiraan dan pembayaran zakat oleh Bank Muamalat melengkapkan ekosistem pengurusan kekayaan Islam di bawah satu bumbung.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata buat permulaan, khidmat pentaksiran zakat yang disediakan melalui kerjasama Bank Muamalat dengan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertujuan membantu merancakkan kutipan zakat.

“Pihak bank akan mengadakan kerjasama dengan majlis agama Islam negeri yang lain bagi memperluaskan khidmat pentaksiran zakat di kaunter ke semua negeri secara berperingkat,” kata Khairul.

“Penawaran khidmat pentaksiran zakat secara tidak langsung membantu membangunkan ekonomi umat Islam dengan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin,” tambah Khairul. –  MalaysiaGazette