IPOH – Satu mayat dipercayai mangsabunuh ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan itu pada kira-kira 3.05 petang.
“Pihak polis daerah Kuala Kangsar telah hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan tersebut.
“Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut tiba di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal, mangsa yang disyaki seorang perempuan daripada penelitian berdasarkan fizikal itu dipercayai telah mati dibunuh dan dibakar di tempat yang sama.
Bagaimanapun, Mior Faridalathrash berkata identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat bagi mencari punca kematian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat ASP Mohd Subkey Alias menerusi talian 013-9285436.
— BERNAMA