Lintas hormat pesawat TUDM melintasi perbarisan kawalan kehormatan utama pada Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia ke-64 di Pangkalan Udara Subang. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

SUBANG – Keupayaan pertahanan udara perlu melalui transformasi menyeluruh dan holistik bagi memastikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa selari dengan perkembangan teknologi ketenteraan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddij Al-Mustafa Billah Shah bertitah, aplikasi terkini bukan sahaja terhad kepada peningkatan keupayaan pesawat terbang, malah meliputi kejuruteraan, logistik, latihan dan pengurusan ruang udara.

Dalam era perkembangan teknologi serta persekitaran geostrategik serantau dan antarabangsa yang dinamik, pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan perlu bergerak seiringan dalam membentuk sebuah angkatan udara masa hadapan yang boleh dipercayai.Menurut baginda, warga TUDM hendaklah sentiasa diterap dengan kemahiran yang mampan sejajar dengan evolusi pembangunan kapasiti.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membuat pemeriksaan kawalan kehormat ketika Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia ke-64 di Pangkalan Udara Subang. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

Titah baginda, semua ini demi mendukung pertahanan komprehensif negara dan memperkukuh perkongsian berwibawa di peringkat serantau dan antarabangsa.

”Pada hemat beta, peningkatan keupayaan warga udara berasaskan teknologi akan dapat memacu ke arah pembentukan modal insan yang berimpak tinggi dan pada masa yang sama, pemantapan jasmani dan rohani, disamping memperkasa jati diri setiap warga udara sewajarnya terus diberikan tumpuan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-64 yang diadakan di Pangkalan Udara Subang pagi tadi.

Yang di-Pertuan yakin menerusi pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan sejajar teknologi terkini, TUDM sebagai sebahagian daripada elemen pertahanan negara akan dapat menjamin kesejahteraan, kestabilan, keamanan dan kelangsungan ekonomi negara.

Panji-panji Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia ketika perbarisan mara mengadap sempena Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia ke-64 di Pangkalan Udara Subang. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

Titah Al-Sultan Abdullah, TUDM sebagai tonggak utama mempertahankan ruang angkasa negara, diibaratkan sebagai sebuah perisai yang melindungi rakyat dan segenap kemakmuran negara selari dengan tema “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” pada sambutan kali ini.

Titah baginda, TUDM kini berada di atas landasan tepat menuju ke arah pembentukan sebuah angkatan udara masa hadapan yang berspektrum penuh.

“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa pelbagai usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para panglima, barisan kepimpinan, perwira dan perajurit TUDM, sepanjang 64 tahun yang lalu,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast