Home Nasional Tak mahu Jambatan Pulau Pinang jadi mercu tanda bunuh diri – ADUN...

Tak mahu Jambatan Pulau Pinang jadi mercu tanda bunuh diri – ADUN Penaga

GEOEGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah menggesa Kerajaan DAP dan pihak berkuasa menangani isu bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang.

Mohd Yusni berkata, kerajaan negeri perlu memastikan Jambatan Pulau Pinang itu tidak dijadikan sebagai mercu tanda untuk orang awam membunuh diri.

“Hari ini sekali lagi kita dikejutkan insiden bunuh diri dengan terjun Jambatan Pulau Pinang sekitar jam 5.30 pagi tadi membabitkan seorang lelaki baru berusia 22 tahun.

“Situasi ini membuatkan ‘mood’ rasa kurang seronok sebab perkara ini amat membimbangkan kita semua.

“Ini perlu diberi perhatian oleh kita semua kerana kita melihat statistik kes bunuh diri di jambatan ini setiap tahun meningkat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambah beliau, kejadian dipercayai berlaku akibat masalah kesihatan mental semakin membimbangkan di negara kita.

“Kita tak nak Jambatan Pulau Pinang sebagai mercu tanda negeri nanti menjadi masyhur atau disebut sebagai tempat yang menarik orang untuk membunuh diri.

”Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah ini dengan membentuk situasi di tempat kerja yang harmoni  dan pengukuhan institusi kekeluargaan yang utuh.

“Inisiatif ini penting bagi merealisasikan misi Penang 2030 sebagai negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga,” katanya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan sebanyak 15 kes terjun Jambatan Pulau Pinang dilaporkan berlaku sejak Januari hingga Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast