Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin bersama Prof Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani yang menerima pingat emas dan anugerah khas dalam ITEX 2022.

KUANTAN – Penyelidikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah tersendiri apabila menang besar Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2022 (ITEX)  baru -baru ini.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, sebanyak 24 produk penyelidikan UMP yang dipamerkan dalam pameran berprestij itu mendapat pengiktirafan.

“UMP berjaya meraih Anugerah Khas, 14 pingat emas dan sepuluh pingat perak dalam pameran ITEX yang berlangsung  di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 dan 27 Mei 2022 lalu.

“Produk penyelidikan Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) bertajuk ‘Smart-Steadi for Efficiënt Agarwood Essential Oil Extraction’ raih pingat emas dan Anugerah Khas Best Invention Universities & Educational Institutions.

Sementara itu,  Profesor Madya Dr. Saiful berkata inovasi Smart-Steadi ini digunakan untuk meningkatkan hasil pengekstrakan minyak gaharu dan dalam masa yang sama mengurangkan kos pengeluaran.

“Idea inovasi ini tercetus apabila saya terlibat sama dalam beberapa kajian membina fasiliti pemprosesan gaharu berskala industri bersama pengusaha gaharu tempatan dan luar negara.

“Perusahaan gaharu mampu dijadikan sebuah industri, contohnya, hasil kerjasama UMP di bawah Bioaromatic Research Center (BARCE) dengan PIJ Agarwood, sebuah anak syarikat negeri Johor yang kini sedang menyiapkan fasiliti pengekstrakan gaharu berkapasiti 38 sistem.

“Dengan berkembangnya industri ini di negara kita akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti,” katanya ketika ditemui.

Penganjuran ITEX merupakan sebuah pameran tahunan reka cipta dan inovasi bertaraf antarabangsa yang dihadiri pereka cipta dari dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette