Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PWTC (World Trade Centre) Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 1,180,415 atau 33.2 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman sesawang COVIDNOW, sejumlah 1,728,942 atau 48.6 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,914,722 atau 93.7 peratus lengkap divaksin, manakala 3,011,068 atau 96.8 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, sejumlah 16,100,274 atau 68.4 peratus individu dewasa di negara ini menerima suntikan dos penggalak, sebanyak 22,975,123 atau 97.6 peratus lengkap dua dos suntikan vaksin dan 23,251,598 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 4,666 dos harian diberikan semalam meliputi 563 dos pertama, 2,557 dos kedua dan 1,546 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 70,947,904.

Sementara itu, Portal Github Kementerian Kesihatan melaporkan dua kematian akibat Covid-19 semalam dengan masing-masing satu kes di Johor dan Melaka. – MalaysiaGazette