Mahdzir (kanan) ketiak Sambutan Jubli Emas Penubuhan KEJORA di Dataran Tanjung Balau hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan bersetuju membantu penduduk luar bandar khususnya di kampung untuk memperluas ternakan khususnya ayam sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia lebih sesuai bagi pelan jangka masa pendek berbanding projek baharu yang mengambil masa lebih lama kerana perlu menyiapkan kertas kerja serta mencari lokasi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas penubuhan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Dataran Tanjung Balau hari ini.

Turut hadir pada perasmian adalah Pengurus Besar KEJORA, Datuk Mohd Rusdi Darus dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KEJORA  telah banyak mengubah landskap pembangunan luar bandar sekaligus menempa kejayaan besar dalam aspek prasarana, pendidikan dan sosio-ekonomi kawasan serta masyarakat yang terlibat.

Justeru, beliau bersetuju agar KEJORA diberi penjenamaan semula dengan hala tuju baharu selari dengan arus semasa.

“Tiada masalah untuk kawasan KEJORA diperluaskan. Jadi, terpulang kepada kerajaan negeri, Menteri Besar Johor untuk mempertimbangkan permohonan.

“Kita tak beri tekanan kepada kerajaan negeri, biar kerajaan negeri yang buat keputusan. Kalau pada kerajaan negeri berpendapat elok diperluaskan, boleh diperluaskan dan kalau kerajaan negeri fikir sebaliknya, itu terpulang,” katanya.

Cadangan peluasan kawasan pembangunan KEJORA kepada kerajaan negeri termasuklah peluasan kawasan daripada lapan mukim kepada 10 mukim dalam daerah Kota Tinggi dan daripada dua mukim kepada lapan mukim dalam daerah Kluang.

Sementara itu, Mohd Rusdi dalam ucapannya berkata, setelah 50 tahun usia KEJORA, kini menjadi cabaran kepada lembaga itu untuk merangka dan merancang visi dalam misi untuk 50 tahun yang akan datang.

“Selepas ini, kita perlu bersama-sama berganding bahu dalam merencana dan melaksana pembangunan KEJORA dengan wajah yang baru yang lebih segar dan sesuai dengan peredaran semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast