Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika berucap pada sidang media khas mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan pemansuhan itu, pihaknya akan memperkasa dan menambahbaik secara menyeluruh melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

“Jadi macam mana kita hendak tahu prestasi murid? Kita akan memperkasa PBS menerusi Pentaksiran Bilik Darjah(PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Ia melibatkan penambahbaikan PBD Pentaksiran Formatif berterusan dengan memperkasa program latihan untuk pentadbir atau guru bagi memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah dan memperkasa program latihan untuk pentadbir atau guru bagi memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

“Bagi penambahbaikan PBD Pentaksiran Sumatif pula, kita akan memantapkan ujian akhir sesi akademik bagi lima mata pelajaran terpilih di peringkat sekolah rendah dan semua mata pelajaran di peringkat menengah rendah melalui pentaksiran mengikut tahun atau tingkatan, penyediaan bank soalan oleh KPM, penjanaan set soalan oleh guru di sekolah pelaksanaan yang lebih fleksibel,” katanya,

Tahun lalu, PT3 dibatalkan di mana antara alasan utama yang dipertimbangkan sebelum membuat keputusan itu ialah mengambil kira masa yang ada untuk pelajar membuat persediaan khususnya pembelajaran secara bersemuka bersama guru di sekolah pada tahun 2021.

PT3 mula dilaksanakan pada 2014 menggantikan peperiksaan berpusat awam, Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Mengulas lanjut, Radzi menambah, pelaporan PBD yan menyeluruh akan dilakukan dua kali setahun iaitu pertengahan dan akhir sesi akademik.

Jelas beliau, laporan juga meliputi deskriptor bagi tahap penguasaan (TP1-TP6) yang komprehensif dan jelas selain penilaian tahap usaha murid dalam pembelajaran.

Katanya, ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta cadangan intervensi bagi murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum akan turut dilaporkan.

“Pelaporan Akhir Sesi Akademik menggunakan format baharu akan mula dilaksanakan pada sesi akademik 2022/2023 manakala Pelaporan Pertengahan Sesi Akademik menggunakan format baharu akan mula dilaksanakan pada sesi akademik 2023/2024.

“Pada masa sama, PPSi akan turut dilaksanakan untuk murid tahun 4 dan 5 di sekolah rendah serta murid tingkatan 2 di sekolah menengah.

“Jika sebelum ini PPsi hanya dilaksanakan bagi pelajar tingkatan tiga sekolah menengah bagi menilai prestasi murid tersebut.

“Kali ini kita laksanakan PPsi bagi tiga kumpulan murid tersebut, jadi ini membolehkan ibu bapa mendapat maklumat yang lebih menyeluruh berkaitan perkembangan anak mereka.

“Ia bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi dari sudut jasmani, kesihatan dan psikometrik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast