Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan . Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Video tular yang memaparkan dua mangsa diseksa dengan menggunakan alat renjatan elektrik dipercayai tidak melibatkan warga Malaysia.

Insiden itu dikesan berlaku di luar negara dan bukan di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkenaan penularan dua video berasingan, masing-masing berdurasi 54 saat dan satu minit 47 saat, yang memaparkan dua individu diseksa dengan alat renjatan elektrik.

“Video pertama memaparkan seorang wanita dipercayai warga Vietnam digari di atas katil dan diugut dengan alat renjatan elektrik, manakala dalam video kedua pula seorang lelaki turut digari di atas katil dan didera dengan alat yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Jalil menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kedua-dua video berkenaan kerana dikhuatiri mampu mencetuskan kegusaran.

“Kita amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang perkara ini, sebarang maklumat boleh disalurkan di balai polis yang berdekatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette