Foto: Mardi

SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan membangunkan ladang bawang merah di Bachok, Kelantan menggunakan varieti dihasilkan institusi itu, yang berkemampuan menghasilkan sembilan tan metrik bagi tiga musim penanaman dalam tempoh setahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, MARDI telah menghasilkan lima varieti bawang merah iaitu iaitu SA01, SA02, SA03, SA05 dan SA08, dan perusahaan di Bachok itu yang akan bermula Julai ini menggunakan varieti SA02.

Katanya, ladang bawang merah seluas sehektar di MARDI Bachok itu, akan menempatkan 220,000 pokok bawang dengan menggunakan teknik tanaman bebawang dan tuaian pertama dijangka pada September ini.

“Varieti bawang merah ini sesuai dengan cuaca negara ini, selain boleh dapat hasil yang tinggi dengan gabungan pendekatan agronomi dan fisiologi,” katanya dalam sidang media mengenai projek penanaman bawang di ibu pejabat MARDI di sini, hari ini.

Menurutnya, penanaman menggunakan bebawang mengambil masa 75 hari untuk mencapai tempoh matang, manakala penggunaan biji benih mengambil masa lebih tiga bulan atau 105 hari selain memerlukan cuaca panas terutama pada waktu penuaian.

Mohamad Zabawi berkata, penanaman bawang merah menerusi penyelidikan MARDI itu, dijangka membolehkan negara menghasilkan bawang merah tempatan sendiri menjelang 2023 sekali gus mengurangkan import komoditi itu sehingga 40 peratus.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pasaran bawang terutamanya di India kini mengalami krisis pengeluaran, menyebabkan eksport dari negara itu menurun 30 peratus dan mendorong kenaikan harga bawang di pasaran tempatan.

Beliau yang turut hadir pada sidang media itu, berkata penanaman bawang merah yang kini hampir menjadi kenyataan, merupakan antara inisiatif kementerian dalam menangani isu sekuriti makanan dalam negara.

Menurutnya, pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah oleh MARDI itu, turut merangkumi peningkatan produktiviti, kajian berterusan bagi pengadaptasian varieti bawang tahan cuaca panas, pengurangan masalah perosak, kerosakan lepas tuai dan pengukuhan pemasaran.

Haslina berkata, jaringan kerjasama dengan beberapa syarikat serta agensi dari dalam dan luar negara antaranya World Vegetable Center di Taiwan dan Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Indonesia turut membantu meningkatkan keyakinan dalam menjayakan kajian penanaman bawang tersebut.

Malaysia mengimport sepenuhnya bawang merah dari negara luar terutama India dan China, dan pada 2021 negara mengimport  484,867 tan metrik dengan nilai RM902.5 juta bagi memenuhi permintaan pengguna.

Dalam pada itu, turut dipamerkan hari ini hasil kejayaan MARDI meraih tujuh pingat emas, dua pingat perak serta satu anugerah khas di Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 baru-baru ini.

Inovasi yang merangkul pingat emas dan anugerah khas ialah ‘teknik pembungkusan durian menggunakan filem berketumpatan rendah bagi memanjangkan jangka hayat durian segar’ oleh Nur Azlin Razali.

Turut meraih emas inovasi padi wangi MRQ103 oleh Shamsul Amri Saidon dan teknologi penanaman kubis bunga di tanah rendah oleh Rahayu Anang. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast