Penyelia KKM Seremban maut dirempuh lori semasa menukat tayar pancit di bahu jalan di Kuala Selangor. - Gambar Ihsan IPD Kuala Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang penyelia Kementerian Kesihatan (KKM) antara dua individu yang maut selepas mereka dirempuh oleh sebuah lori di Kilometer 11.5, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, berhampiran Bukit Rotan dekat sini semalam.

Insiden itu berlaku ketika mangsa sedang menukar tayar kereta, kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa.

Menurutnya, kejadian berlaku lebih kurang pukul 4 petang.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati tayar kereta Proton Preve dinaiki kakitangan KKM itu dipercayai pancit dan berhenti di bahu jalan.

“Ketika itu seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu kereta Proton Wira datang ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.

“Bagaimanapun tidak lama selepas itu, sebuah lori dari arah Kuala Selangor ke Kuala Lumpur dipercayai cuba mengelak ke kanan selepas melihat beberapa individu berada di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramli, ketika itu, sebuah kereta Mercedes muncul dari arah belakang sebelah kanan lori menyebabkan pemandu lori itu cuba mengelak kereta itu sebelum melanggar kedua-dua mangsa yang sedang menukar tayar di bahu jalan.

Akibat rempuhan itu, penyelia berusia 55 tahun dan bekerja di KKM Seremban, Negeri Sembilan dan seorang lagi lelaki berumur 40 tahun itu cedera parah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Semasa kejadian, kawasan kemalangan di jalan lurus dua lorong dalam keadaan cuaca baik dan jalan rata serta,” ujarnya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, satu video berdurasi 15 saat yang memaparkan insiden ngeri itu tular di media sosial Facebook. – MalaysiaGazette