Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran meneliti dan mempertimbangkan satu sistem percukaian yang lebih efektif mensejahterakan rakyat.

Langkah itu bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan memberi fokus dalam memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat daripada bantuan yang diberikan kerajaan.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Syed Osman Mohamed berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Langkah itu dilihat mampu membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

“Jika ia (GST) dilaksanakan, MBM mencadangkan kadar GST ini ditetapkan pada kadar tiga peratus. Ia adalah satu kadar terbaik ketika ini dan sebagai salah satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

“GST juga dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dalam masa sama membantu kebajikan rakyat khususnya golongan belia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Syed Osman, sistem pencukaian itu dilihat mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

Malah, katanya, GST turut mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

Menurut Syed Osman, kutipan hasil GST itu boleh dikembalikan kepada B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding dengan nilai GST yang dibayar oleh rakyat.

“Dengan adanya GST, kerajaan dijangka akan mendapat hasil hampir RM20 bilion setahun berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Ia merupakan satu kesilapan kerana tiada negara di dunia yang mengguna pakai sistem GST kepada SST melainkan negara ini.

“Rakyat perlu berfikir dan sedar bahawa kerajaan tidak banyak pilihan pada masa ini di samping tanggapan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen politik sempit bagi meraih sokongan bagi mewujudkan persepsi negatif mengenai GST,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyerus agar semua pihak perlu memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat tentang kelebihan dan kebaikan pelaksanaan GST.

Selain itu beliau menambah, sebagai rakyat, semua pihak perlu membantu kerajaan dalam memastikan negara terus mampu berdaya saing, mengukuhkan ekonomi seterusnya kembali membantu rakyat.

Justeru MBM menyokong penuh hasrat kerajaan mengembalikan GST dalam masa sama meminta kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan menggerakkan usaha mendidik dan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tentang sudut positif sistem pengutipan cukai yang lebih telus ini seterusnya mampu mengawal harga barang.

“MBM mengambil peluang di sini ingin mencadangkan apabila GST diperkenalkan semula, kerajaan hendaklah memperbanyakkan lagi program-program subsidi bersasar antaranya menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.85 per liter,” katanya.

Kerajaan juga perlu mengecualikan cukai jalan bagi semua jenis kenderaan 2000cc ke bawah; mengurangkan harga tol dalam bandar dan lebuh raya PLUS; memberikan diskaun atau pengecualian pinjaman pendidikan seperti PTPTN kepada pelajar memperolehi CGPA 4.0 dan CGPA 3.5 ke atas manakala bawah 4.0 mendapat 50 peratus potongan pinjaman, 3.0 dan 3.5 ke atas mendapat 30 peratus potongan pinjaman.

“MBM percaya dengan adanya sistem percukaian GST, ia mampu menstabilkan ekonomi negara dan kerajaan juga boleh mengusahakan program rasionalisasi subsidi bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah serta menambah bantuan BPR dan lain-lain,” tegasnya.- MalaysiaGazette