PDRM
Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian pada 9.20 malam itu, mangsa Shazman Sabarudin, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata ibu mangsa, Husnirazulia Mohd Yudin, 47, yang juga mengalami kecederaan parah kini menerima rawatan di zon merah, Hospital Tampin.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 24 tahun yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut dan kereta Proton Saga dinaiki lima individu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya berdasarkan siasatan awal terdapat kerja-kerja penurapan jalan dari arah Tampin menghala ke Rembau di lokasi kejadian dan keadaan jalan lurus tetapi tidak rata, tidak berturap, berbatu halus serta mempunyai satu lorong sehala.

Hazri berkata kereta Perodua Axia yang dipandu dari arah Tampin menghala ke Rembau itu dipercayai hilang kawalan disebabkan permukaan jalan tidak berturap serta tidak rata, sebelum berpusing dan masuk ke laluan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu juga, pemandu kereta Perodua Axia serta lima individu menaiki Proton Saga mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan dirawat di zon kuning hospital sama,” katanya.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat pada pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast