Datuk Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Timbul desas desus kemungkinan besar berlakunya ‘rombakan Kabinet’ kecil berikutan tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Jawatan Zuraida selaku Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Malaysia itu dipercayai kuota Bersatu.

Menurut sumber tertinggi Bersatu yang enggan dikenali, ketika ini sudah ada beberapa nama pimpinan parti yang sudah dipertimbangkan untuk menggantikan jawatan menteri berkenaan.

“Sebenarnya setahu saya sudah ada yang sudah dipertimbangkan selayaknya untuk ambil alih jawatan itu. Memang sejak awal lagi pimpinan Bersatu sudah maklum dengan tindak tanduk Zuraida yang tidak sehaluan dengan Bersatu. Jawatan menteri itu sahaja yang membantutkan usahanya untuk keluar parti ini.

“Kerana itu juga jika anda lihat, dari awal lagi sudah ada beberapa pemimpin yang menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin keluarkan Zuraida. Sudah ada cerita beliaulah pengasas PBM dan bakal presidennya.

“Akhirnya Zuraida sendiri umum keluar, jadi tidak adil untuk beliau terus pegang jawatan menteri yang kuotanya bukan dari PBM tetapi dari Bersatu. Jawatan itu kami punya dan selayaknya kami yang pegang.

“Untuk maklumkan, keputusan sudah dibuat tunggu serah nama kepada Perdana Menteri sahaja,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sumber tersebut turut mendedahkan empat nama pemimpin yang juga mendapat sokongan rata-rata pimpinan bagi menjawat jawatan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi itu.

Antaranya bekas timbalan menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Untuk makluman, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah pernah diangkat sebagai calon Ketua Menteri Melaka seandainya Bersatu menang besar di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun namun beliau kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Namun kekalahan itu tidak pernah menghentikan Bersatu untuk terus mengangkat Mas Ermiyati yang juga bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO sebelum melompat masuk ke parti Bersatu selepas PRU-14 lalu apabila terpilih sebulat suara sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka selain merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu serta Naib Ketua Srikandi Bersatu.

Mas Ermieyati juga dianggap sebagai antara calon wanita muda yang berkaliber dan sentiasa cemerlang dalam menjalankan tanggungjawabnya ketika menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Selain Mas Ermieyati, Santhara juga merupakan antara nama disebut-sebut.

Beliau seorang tokoh korporat yang berjaya dan antara jasanya di Masterskills sehingga menempa nama peringkat dunia.

Ketika ini, Santhara menjadi kepercayaan Muhyiddin  apabila dilantik menjadi Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu bagi membawa masuk sokongan ahli bukan bumiputera ke dalam Bersatu.

Datuk Seri Dr Santhara Kumar Deputy Minister New Zealand holidays P. Prabakaran
Dr. Santhara Kumar

Walaupun pernah bersama PKR namun ketika Langkah Sheraton, Santhara antara wakil rakyat yang melahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin sebelum menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, seorang lagi yang menjadi pilihan ialah Ketua Penerangan Bersatu yang sentiasa lantang dalam menyuarakan pelbagai isu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Sebelum ini, beberapa media sudah melaporkan ada kemungkinan Wan Saiful akan menjadi dilantik sebagai Ahli Dewan Negara memandangkan masih ada kekosongan kuota bagi pelantikan dari Bersatu.

Wan Saiful juga akan tamat kontrak beliau sebagai Pengerusi PTPTN pada penghujung bulan ini jadi adalah tidak mustahil untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantiknya sebagai senator sebelum dilantik dalam jemaah menteri.

Wan Saiful Wan Jan

Muhyiddin baru-baru ini memaklumkan pihaknya akan mengemukakan nama baharu kepada Perdana Menteri untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan Zuraida.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan turut memberi peringatan yang jawatan jemaah menteri yang ditinggalkan Zuraida mesti dikembalikan kepada Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.