Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan polis berikutan penemuan 15 potongan daging anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan polis berikutan penemuan 15 potongan daging anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridahlathrash Wahid berkata, pada 4 Jun lalu, pihaknya telah menerima laporan mengenai penemuan potongan-potongan daging manusia itu.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian dengan dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah hadir ke tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian polis berjaya menemukan 15 keratan bahagian tubuh badan mayat yang telah disyaki dipotong,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Tambah Mior, susulan kejadian itu, polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang suspek lelaki tempatan yang merupakan anak mangsa.

Polis turut merampas sebilah parang, dua bilah pisau serta barang-barang yang digunakan suspek bagi melakukan pembunuhan tidak berperikemanusiaan itu.

Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 68 tahun dan tinggal bersama suspek sejak 12 tahun yang lalu selepas suaminya meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal polis mendapati punca kejadian daripada rasa tidak berpuas hati suspek terhadap mangsa (ibu) dalam pembahagian harta pusaka mendiang bapa suspek,” katanya.

Suspek kini telah ditahan reman dan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette