Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bercakap kepada media semasa sekatan jalan raya yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sempena Op Selamat ke-17 Tahun Baharu Cina di Jalan Utara, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Walaupun telah dikenakan tindakan beberapa kali kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, beroperasi melebihi waktu dan menjual minuman keras pada 2021, namun sebuah pusat hiburan di Damansara Utama masih tidak serik.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kegiatan pusat hiburan berkenaan dikesan dalam operasi yang dijalankan pada Sabtu lalu jam 1.30 pagi.

Katanya, dalam serbuan berkenaan seramai 70 lelaki dan 34 perempuan pengunjung diperiksa.

“Kesemua pengunjung di dalam premis hiburan tersebut tiada mempunyai apa-apa kesalahan lampau yang masih dikehendaki,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, semua peralatan muzik  di pusat hiburan tersebut turut dirampas dan kes disiasat di bawah peruntukan seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor.

Sebagai rekod, remis hiburan tersebut pernah diserbu beberapa kali oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sepanjang tahun lepas menerusi “OP NODA KHAS” .

Jelas Mohamad Fakhrudin, kesemua kesalahan premis berkenaan  pada tahun lalu telah diambil tindakan di mahkamah. – MalaysiaGazette