KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatannya terhadap penganjuran dan perhimpunan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tugu Negara hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan perkara itu.
“Polis setakat ini tidak menerima sebarang permohonan daripada penganjur untuk permit perhimpunan hari ini.
“Oleh demikian beberapa individu dari pihak penganjur perhimpunan itu telah pun dikenalpasti oleh polis.
“Mereka (penganjur) yang dikenalpasti akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya di sini.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran.
Terdahulu, kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhimpun di Tugu Negara pagi tadi menuntut beberapa perkara termasuk penyelarasan pencen dan soal kebajikan oleh Kementerian Pertahanan.
Pengerusi bersama perhimpunan, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar dalam ucapannya dilaporkan berkata, perhimpunan itu diadakan bertujuan menyampaikan tiga tuntutan utama para Veteran ATM kepada kerajaan.
Beliau mendakwa setelah lapan tahun berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai ‘hak kumpulan pesara’, namun tiada sebarang tindakan dan perhatian diberikan kerajaan sehingga hari ini.-MalaysiaGazette