SINGAPURA – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada 4 Jun lepas dimaklumkan Kementerian Kesihatan New South Wales, mengenai satu kes cacar monyet melibatkan pengembara yang transit di Singapura pada 2 Jun.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, MOH memaklumkan bahawa pengembara itu tiba di Sydney pada 3 Jun dan disahkan positif cacar monyet.
Memandangkan beliau tidak masuk ke Singapura atau berinteraksi dengan orang dalam komuniti, buat masa ini tiada risiko penularan komuniti yang ketara.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak MOH telah menjalankan pengesanan kontak untuk dua penerbangan yang terjejas dan mereka yang mungkin bersentuhan dengan pengembara itu di kawasan transit.
“Bagaimanapun, kami akan memantau 13 orang yang mungkin mempunyai kontak kasual selama 21 hari,” menurut kementerian itu.
Di bawah pemantauan itu mereka yang terlibat akan menerima panggilan telefon setiap hari untuk memastikan status kesihatan sehingga tamat pengawasan.
“Jika mereka melaporkan simptom yang menunjukkan jangkitan cacar monyet, mereka akan dinilai dari segi perubatan dan mungkin dihantar ke Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan untuk penilaian lanjut,” menurut kementerian itu.
— BERNAMA