Foto: ANC

SEOUL – Korea Selatan dan Ameika Syarikat (AS) melancarkan lapan peluru berpandu balistik ke Laut Timur hari ini sebagai tindakan balas terhadap tindakan Korea Utara yang melakukan perkara sama semalam, menurut tentera Korea Selatan.

Ketua Staf Bersama berkata, perikatan tertera itu melancarkan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) darat ke darat bermula jam 4.45 pagi untuk tempoh 10 minit.

Semalam, Korea Utara melancarkan lapan peluru berpandu balistik jarak pendek (SRBM) daripada empat lokasi berbeza ke Laut Timur berikutan latihan ketenteraan yang dilakukan Korea Selatan dan AS pada minggu lalu melibatkan kapal pengangkut pesawat AS.

“Gabungan pelancaran peluru berpandu darat ke darat Korea Selatan-AS menunjukkan keupayaan dan sikap untuk melancarkan serangan yang tepat dengan pantas ke atas sumber provokasi angkatan dan pemerintah tentera mereka.

“Tentera kami mengutuk beberapa siri provokasi peluru berpandu dan menggesa ia tindakan yang meningkatkan ketegangan ketenteraan di semenanjung dihentikan segera selain ia meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan,” katanya seperti dipetik agensi berita, Yonhap.

Para pegawai Seoul telah memberi amaran bahawa provokasi ketenteraan Pyongyang akan dibalas dengan tindak balas yang ‘selaras’.

Sejurus selepas Korea Utara melancarkan tiga peluru berpandu balistik, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), pada 25 Mei lalu, buat kali pertama perikatan tentera Korea Selatan dan AS melancarkan peluru berpandu sejak 2017. – Agensi