Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2022.

KUALA LUMPUR –  Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ kementeriannya.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, ini kerana beliau tidak pernah mendengar mana-mana kementerian mengamalkan pendekatan ‘daerah angkat’ sepanjang menjadi ahli Parlimen sejak 2008.

Sebaliknya, beliau berkata, sesebuah kementerian perlu merangka dasar dan menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh negara dan bukan menumpukan kepada mana-mana kawasan tertentu.

“Tengku Zafrul tidak patut menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi kelebihan kepada dirinya bertanding dalam sesuatu kawasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, hasrat yang digariskan Menteri Kewangan itu bagi membolehkan daerah Kuala Selangor dimajukan semaksimum mungkin seiring dengan projek pembinaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

Mengulas lanjut, Anthony Loke menambah, kelulusan sesebuah stesen keretapi juga bukan di bawah bidang kuasa Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan.