Gambar Hiasan. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Kilometer 423.533 antara Bangi dan Kajang pada jam 9.45 pagi berpunca daripada masalah teknikal.

Keretapi Tanah Melayu Malaysia Berhad (KTMB) berkata, proses menangani masalah itu memakan masa lama berikutan pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf landasan di bawah projek Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang
(KVDT) yang mana hanya satu landasan sahaja digunakan di antara laluan tersebut.

Katanya, gangguan perkhidmatan itu telah mengakibatkan 220 orang penumpang dipindahkan ke tren bantuan pada jam 10.35 pagi dan proses pemindahan penumpang selesai pada jam 11.16 pagi.

“Gangguan sama juga telah mengakibatkan kelewatan melebihi 120 minit untuk perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves ke Pulau Sebang dan sebaliknya serta ETS laluan Gemas ke Padang Besar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut KTMB, bagi penumpang perkhidmatan ETS yang tidak dapat meneruskan perjalanan dan ingin membuat penukaran tarikh perjalanan boleh berbuat demikian dengan e-mel kepada [email protected]

Orang ramai boleh mengemukakan pertanyaan dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di talian 03-2267 1200. – MalaysiaGazette