Bomba sedang memberi bantuan pada mangsa yang mengalami cedera parah di muka. Foto Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas motor yang ditungganginya bergesel dengan sebuah treler berhampiran jambatan baru di North Port, Pelabuhan Klang menghala ke Tamadam, Bandar Sultan Sulaiman, petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.45 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Pelabuhan Klang bersama satu buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua unit Bermotor Bomba atau Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Penunggang motosikal itu mengalami cedera parah di bahagian muka, pinggang dan kaki. Foto Ihsan Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 4.01 petang, pihak bomba mendapati insiden itu melibatkan sebuah treler telah menggilis sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.

“Seorang mangsa lelaki merupakan penunggang motosikal itu mengalami cedera parah di bahagian muka, pinggang dan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Norazam, mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Kemalangan terbabit juga dirujuk kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut – MalaysiaGazette.