KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 26 Julai depan untuk memutuskan saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim terhadap Datuk Seri Jamal Md. Yunos.
Jamal ketika ini sedang berdepan dengan saman daripada pemimpin DAP itu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) pada 2017.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membuat ketetapan itu setelah pihak plaintif menutup kesnya hari ini.
Plaintif telah mengemukakan keterangan dua saksi termasuk Teresa dan wartawan Malaysiakini, Annabelle Lee manakala defendan (Jamal) pula tidak mengemukakan saksi.
Ketika prosiding hari ini, Jamal juga cuba menangguhkan kes atas alasan beliau mahu melantik peguam baharu dan mendakwa dirinya tidak yakin dengan khidmat peguam terdahulu yang mewakili dirinya.
Dakwa Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu, dirinya berhak untuk mendapat khidmat peguam yang bagus selepas pembelaannya ditolak sebelum ini.
Namun permohonan itu ditolak Mohd Arief malah tidak membenarkan sebarang penangguhan lagi memandangkan kes tersebut sudah memakan masa begitu lama lebih lima tahun.
Mohd Arief turut menetapkan kedua-dua pihak dikehendaki memfailkan hujahan bertulis berhubung liabiliti dan kuantum pada 15 Jun ini dan memfailkan hujahan balasan pada 22 Jun ini.
Teresa sebelum ini telah memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana YAWAS dalam sidang media pada 8 Mac 2017.
Jelasnya kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.
Bekas menteri itu juga menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – MalaysiaGazette