SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengarahkan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) mengadakan pertemuan dengan penghantar makanan e-hailing Grab dan Food Panda yang membangkitkan beberapa isu dua tahun lalu.
Jelas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, KSM mengarahkan pertemuan berkenaan agar kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Tambah beliau, KSM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan secara berterusan dengan kumpulan penghantar makanan yang masih tidak berpuas hati.
“Tindakan sudah diambil oleh KSM dengan mengarahkan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) mengadakan perjumpaan dengan kedua-dua pihak.
“Perundingan sentiasa berjalan berterusan jadi kalau kita sebut sudah selesai mungkin nanti ada beberapa yang masih lagi dalam peringkat rundingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi wakil Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan di Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) 2022 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).
Sebagai rekod, pada 17 Julai 2020, ratusan penghantar makanan e-hailing Grab dan Food Panda menghantar memorandum kepada KSM di Putrajaya.
Memorandum berkenaan antara lain mempersoalkan caruman Pekerja Keselamatan Sosial (PERKESO) yang digalakkan kerajaan namun tidak dinikmati manfaatnya oleh para penghantar makanan.
Dalam masa yang sama, ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati tentang gaji yang semakin berkurang dan tidak munasabah.-MalaysiaGazette