Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah (tiga kiri) bergambar kenangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AIG Malaysia Insurance Berhad, Antony Lee (tiga kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen 'Selesa dan Selamat Bersama Rapid KL' di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Seiring dengan kempen ‘Selesa dan Selamat’ bersama Rapid KL, syarikat pengangkutan itu hari ini memberikan perlindungan insuran percuma kepada pelanggannya.

Berkonsepkan ‘siapa cepat dia dapat’, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata perlindungan itu merangkumi perlindungan hospital percuma selama tiga bulan kepada 50,000 penumpang Rapid KL.

“Pelan Perlindungan Hospital atau hospital protection plan bagi memberikan perlindungan tambahan kepada para penumpang Rapid KL dan menguatkan lagi keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya yabg dikendalikan oleh Rapid KL.

“Sebanyak 50,000 polisi percuma akan diberikan kepada para penumpang Rapid KL mulai 16 Jun ini,” katanya selepas merasmikan Kempen Selesa dan Selamat bersama Rapid KL di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Batu hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIG Malaysia Insuran Berhad, Anthony Lee.

Menurut Mohd Azharuddin, perlindungan itu adalah kolaborasi dengan syarikat insuran antarabangsa American International Grop Malaysia (AIG) bagi memberikan perlindungan insuran kepada para pengguna Rapid KL.

Tambah beliau, kempen itu adalah selaras dengan aspirasi Rapid KL untuk menarik lebih ramai warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Polisi ini tidak hanya melindungi mereka ketika menggunakan pengangkutan awam kendalian Rapid KL tetapi pada bila-bila masa dijangkiti penyakit yang disenaraikan,” jelas Mohd Azharuddin.

Dalam pada itu, Mohd Azharuddin berkata, Rapid KL turut memperkenalkan satu lagi inisiatif mesra pelanggan yang dinamakan Duta Rel.

Sejumlah 1,200 kakitangan Rapid KL bertujuan bagi memupuk budaya baru dalam mengendalikan para penumpang.

“Buat permulaan program ini melibatkan 19 stesen LRT, MRT dan Monorel terpilih dan akan dikembangkan ke semua 149 stesen sepanjang rangkaian rel dan hab bas terpilih Rapid KL dalam masa tujuh bulan,” katanya lagi.

Tambah Mohd Azharuddin lagi, duta-duta rel akan berada di luar kaunter khidmat pelanggan khususnya pada waktu puncak dengan mengenakan selempang dan topi ‘Ask Me’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast