Mohd. Akmal Zahir.

KUALA LUMPUR – Pertahanan kental Kedah Darul Aman FC, Rodney Celvin percaya kehadiran Mohd. Akmal Zahir akan memberikan gandingan terbaik untuknya di benteng pasukan bagi baki saingan musim ini.

Akmal yang sebelum ini beraksi bersama Melaka United FC sah menyarung jersi hijau kuning untuk membantu barisan pertahanan pasukan kali ini.

Nyata, kehadirannya disambut baik dan dijangka akan mencipta keserasian terbaik bersama Rodney yang juga ketika ini telah melakukan tugas cemerlang untuk Kedah dalam memastikan gawang pasukan terus kebal.

Jelas Rodney, Akmal merupakan pemain yang cukup berkualiti dan mampu membantu Kedah sepertimana yang pernah dia lakukan ketika bersama Melaka.

“Untuk baki perlawanan akan datang, saya rasa dia (Akmal) boleh beraksi sepertimana dia pernah beraksi dengan Melaka.

“Kita tahu dia pun merupakan pemain pertahanan yang cukup baik jadi saya harap apabila dia dah datang sini (Kedah), aksi terbaik dapat dilakukan.

“Saya pula percaya saya dengan dia dapat bekerjasama dengan lebih baik untuk sama-sama bantu pasukan”, katanya.

Selepas berdepan dua seri dan dua kekalahan dalam empat aksi terakhir sebelum liga berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan, pemain berusia 26 tahun ini sedar persiapan yang cukup rapi dilakukan untuk misi wajib menang dalam aksi seterusnya.

“Sekarang nampak jurulatih lebih fokus kepada aspek taktikal yang lebih baik untuk pemain lebih faham apa yang diinginkan.

“Mestilah kita nak menang dan kami pun sentiasa berbincang dekat sini bagaimana untuk bangkit balik lepas tak menang dalam empat perlawanan sebelum ini.

“Untuk saya, konsisten di atas padang sangat penting untuk kami terus meraih keputusan positif,” tambahnya.

Kedah ketika ini berada di tangga keempat Liga Super selepas sembilan perlawanan. – MalaysiaGazette