Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal Julai depan.

Perkara itu katanya telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 yang dipengerusikan beliau yang memuktamadkan draf akhir RUU berkenaan.

“Dalam hal ini, lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun 2022 dan telah diulas dan dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam mesyuarat semalam.

“Maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara ini akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan menyasarkan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Rakyat pada Julai ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada jawatankuasa khas yang akan meneliti dan menggubal akta berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama bulan Julai 2022.

“Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April 2022,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ismail Sabri menjelaskan, adalah perlu untuk Pindaan Perkara 10 Perlembagaan dibentang di Dewan Rakyat esok bagi membolehkan Akta Antilompat Parti dibentang.

Rang undang-undang bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan itu bertujuan memasukkan fasal baharu 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan. – MalaysiaGazette