PDRM
Gambar hiasan

TAWAU – Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat bersama seketul batu seberat 1.2 kilogram ditemukan dalam sebuah bagasi di tepi laut Tanjung Batu Logpond di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima maklumat penemuan mayat berkenaan pada 4.43 petang.

“Sepasang kekasih yang menjumpai sebuah beg berwarna merah jambu terapung di permukaan laut berhampiran jeti di kawasan terbabit telah membuka beg itu dan terkejut melihat keadaan bayi itu yang dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pegawai perubatan kemudian mengesahkan bayi perempuan itu seberat kira-kira satu kilogram dan panjang kira-kira 36 sentimeter.

Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seketul batu dibalut dengan kain batik diletak dalam bagasi bersama bayi itu dipercayai untuk menenggelamkan beg.

“Siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit kerana boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-752 222 atau mana-mana balai polis.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast