KUALA LUMPUR – Transaksi pembayaran bagi semua jenis pemeriksaan kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) akan beralih kepada pembayaran tanpa tunai mulai 1 Julai depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Shukor Ismail dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan urus niaga tanpa tunai berkenaan akan dikuatkuasakan di semua 54 pusat pemeriksaan agensi itu di seluruh negara mulai tarikh itu.
Katanya pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian melalui pilihan e-dompet, kad debit atau kad kredit.
Menurutnya Puspakom menerima pembayaran tanpa tunai melalui pelbagai pilihan e-dompet termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaannya di seluruh negara.
“Sejak April tahun lalu, pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas telah dilaksanakan. Namun, pembayaran secara tunai masih dibenarkan ketika itu atas pertimbangan masih ada sebilangan kecil pelanggan tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit.
“Bagaimanapun, data menunjukkan lebih 90 peratus pelanggan Puspakom kini menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan kami. Ini jelas menunjukkan pembayaran tanpa tunai menjadi pilihan kerana ia lebih mudah, cepat dan selamat dari segi kebersihan tatkala pandemik masa kini,” katanya dalam kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di pautan www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd.- BERNAMA