Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

PEKAN – Sebanyak tiga kilang baharu akan dibina di Paloh Hinai di sini bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk termasuk Orang Asli bermula tahun depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembukaan kilang Taman Teknologi Hijau yang membabitkan tiga fasa sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.

“Sehingga kini syarikat terbabit sudah memberi peluang pekerjaan kepada 250 orang termasuk lapan Orang Asli dan diharapkan lebih ramai masyarakat Orang Asli akan bekerja di kilang berkenaan selepas tiga kilang baharu siap kelak.

“Pembukaan kilang ini bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan malah diharapkan akan dapat meningkatkan ekonomi setempat dengan mewujudkan industri hiliran yang seterusnya memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B Taman Teknologi Hijau (GTP) Pekan dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara NGGB dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah NGGB, Datuk Mohd Yusof Din dan Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Jelasnya Wan Rosdy, kilang baja yang kini dalam pembinaan akan dijangka siap penghujung tahun ini manakala dua lagi kilang dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2023.

Tambahnya, Nextgreen Global Berhad (NGGB) merupakan pelabur utama Taman Teknologi Hijau menambah pelaburan sebanyak RM162 juta bagi membuka kilang tisu, makanan haiwan dan baja di atas tanah seluas 1,214 hektar.

“Selain itu, kerajaan Negeri Pahang turut meluluskan tanah daripada 165 hektar kepada 1,214 hektar untuk pembangunan syarikat terbabit sebagai sokongan kerajaan negeri kepada pelabur di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

1,203 pesawah Pekan terima bayaran TBTP RM3.05 juta

Lima kampung Pulau Tioman dipasang gentian optik