Antara penyokong yang hadir pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bahrain di Stadium Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat tidak menghalang lebih 60,000 penyokong skuad Harimau Malaya hadir untuk menyaksikan pertembungan Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2023 malam ini.

Sehingga pukul 5 petang tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebanyak 61,864 tiket sudah terjual walaupun hujan bermula sejak awal pagi tadi.

Lebih menarik, perlawanan akan turut diserikan dengan kehadiran tetamu khas iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir memberi sokongan kepada pemain negara.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob hadir pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bahrain di Stadium Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

Kehadiran penyokong sebagai ‘pemain ke-12’ pasti menghangatkan lagi perlawanan ini apatah lagi kedua-dua pasukan memburu tiga mata bagi mendapatkan dua kemenangan berturut-turut.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya akan menentang Bahrain yang menghuni ranking ke-89 dunia dengan kedua-dua pasukan kini berkongsi tiga mata hasil kemenangan pada aksi terdahulu.

Kemenangan ke atas Bahrain akan mencerahkan peluang Malaysia untuk mara ke Piala Asia secara merit pada tahun depan.

Selepas aksi berdepan Bahrain, Malaysia akan menutup kempen kelayakan berdepan Bangladesh pada Selasa ini. – MalaysiaGazette