Alan Oh.

GEORGE TOWN – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa kerajaan mengenakan hukuman lebih berat bukan saja terhadap dalang penipuan Macau Scam malah keldai akaun yang membenarkan akaun mereka digunakan bagi tujuan jenayah.

Ia susulan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap 10 lelaki atas kesalahan gagal menjelaskan bagaimana wang RM3.14 juta daripada mangsa Macau Scam dimasukkan  ke dalam akaun bank mereka.

Pengerusi PBM Pulau Pinang, Alan Oh berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah namun undang-undang berat terhadap pesalah sedemikian mesti dikuatkuasakan agar menjadi pengajaran terhadap mereka yang sengaja membenarkan sindiket menggunakan akaun bank bagu tujuan jenayah.

Jelas beliau, hukuman juga perlu dikenakan terhadap mereka yang mendakwa akaun disalah guna tanpa pengetahuan agar akan lebih berhati-hati tentang transaksi melibatkan akaun bank mereka.

“Kami percaya apabila sindiket Macau Scam menghadapi masalah untuk mengakses akaun bank untuk kegiatan haram mereka, jenayah ini akan berkurangan sekali gus dibasmikan sama sekali.

“Macau Scam adalah masalah serius di negara ini dan berdasarkan statistik Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebanyak 1,585 kes Macau Scam dilaporkan tahun lepas dengan kerugian berjumlah RM560 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Alan, pihaknya menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila menerima tawaran yang kemewahan dan sentiasa semak dengan pihak berkuasa sekiranya ragu-ragu. – MalaysiaGazette