Gamabr Hiasan. Foto: FB Liquid vape

PASIR MAS – Taktik penyeludup menggunakan lori syarikat perkhidmatan kurier untuk membawa 21,600 botol cecair vape bernilai RM1.18 juta gagal apabila berjaya dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pos Simpangan, Tumpat dekat sini semalam.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA, ACP Hakemal Hawari berkata, rampasan dilakukan oleh anggota yang menahan lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ketika melaksanakan penugasan Op Wawasan di lokasi terbabit pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, anggotanya menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi pelbagai jenis perisa cecair vape.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota itu didatangi seorang lelaki berusia 20 tahun yang mengaku sebagai penerima kotak-kotak tersebut.

“Barang rampasan, lori serta kedua-dua lelaki telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, Rantau Panjang hari ini.

Hakemal berkata, cecair vape yang dirampas akan diserah kepada Kementerian Kesihatan untuk disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Racun 1952.

Beliau berkata, PGA8 turut merampas 8,800 unit rokok elektronik bernilai RM220,000 di kawasan Pangkalan Haram Pok Leh, Kampung Tualang, Tumpat semalam.

Rampasan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA8 yang melihat dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak dari tebing sungai ke dalam sebuah perahu pada 3.30 petang.

Bagaimanapun, Hakemal berkata, kehadiran mereka disedari oleh kedua-dua lelaki yang bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu terbabit.

“Pemeriksaan pada kotak tersebut menemukan rokok elektronik berkenaan yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

“Barangan rampasan telah dibawa kepada IPD Tumpat untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – Bernama