Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee merasmikan SMART SBB Bernas di Skim Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah. Foto: BERNAS

KUALA LUMPUR- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), syarikat peneraju tunggal SMART SBB di Sabah, kini melebarkan keluasan hektar di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud dengan penglibatan seramai 40 pesawah tempatan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pesawah di kawasan berkenaan telah didedahkan kepada pelbagai latihan pertanian bagi memperkasakan lagi pengetahuan serta kemahiran mereka.

Ini termasuklah pengamalan teknologi terkini seperti dron dan jentera yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman padi serta Jadual Kerja Ladang yang merupakan kaedah amalan pertanian tepat.

Ketua Blok Skim Jawi-Jawi Kota Belud, Rajumin Jamrin berkata, program tersebut membantu penanam padi mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik.

Selain itu, BERNAS juga katanya, membimbing penanam padi dalam penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman serta mengelakkan pembaziran input pertanian.

Langkah itu sekaligus meningkatkan hasil padi serta pendapatan penanam padi.

“Penggunaan teknologi dron memberi hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimakan input serta kos.”

“Ini semestinya memudahkan urusan kami dalam pengurusan ladang dan memberi kami masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain,” katanya.

Majlis perasmian SMART SBB BERNAS di Skim Jawi-Jawi Kota Belud Sabah  disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Datuk Dr Mariana Tinggal, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah; Azman Mahmood, Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras MAFI;  Abdul Rahman Mohd Nasri, Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan BERNAS; Norfaine Sameun, Pengarah IADA Kota Belud.

SMART SBB di Kota Belud merupakan program kolaborasi di antara BERNAS, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta agensi kerajaan lain seperti Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Sabah dan lain-lain.

SMART SBB yang mula diperkenalkan dari awal tahun 2021 merupakan salah satu inisiatif MAFI dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Antara matlamat utama SMART SBB BERNAS adalah untuk membina sistem pertanian dan jaringan pesawah yang lebih dinamik. Ini sekaligus dapat membantu pesawah di dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui peningkatan hasil padi yang berkualiti.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast