Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi kelapan kes melibatkan remaja kurang upaya (OKU), Bella, menafikan bahawa susuk tubuh yang dilihatnya berdiri di hadapan peti sejuk di kondominium yang menjadi lokasi remaja itu didera merupakan bayangan hantu.

Suhana Zam, 40, yakin kelibat tersebut yang berdiri pada awal pagi itu adalah remaja OKU berkenaan.

Beliau menjawab soalan daripada peguam bela Siti Bainun Ahd Razali, Datuk Farhan Maaruf dalam sesi soal balas di mahkamah sesyen.

Farhan bertanya sama ada saksi tersebut tidak takut melihat tubuh berdiri di hadapan peti ais tidak bergerak-gerak di rumah kondo tersebut pada waktu tengah malam.

Peguam: Dalam keterangan puan, hampir setiap keterangan puan mengatakan Bella sentiasa berdiri depan peti ais.

Saksi: Tidak betul.

Peguam: Jadi Bella berdiri dekat mana?

Saksi: Adakala Bella berdiri dekat peti sejuk adakala Bella berdiri tepi dinding.

Peguam: Daripada keterangan puan, puan duduk di meja makan buat kerja dan menghadap dinding. Daripada anak puan, puan nampak Bella berdiri. Boleh maklumkan kepada mahkamah pada waktu tengah malam adakah puan merasa takut atau puan merasa biasa.

Saksi: Saya tak rasa takut. Saya tak terfikir begitu.

Peguam: Saya bukan apa, masa buat kerja anak mata ternampak kelibat. Saya terus terang kata seriau puan.

Saksi: Saya tak ada rasa macam itu.

Peguam: Kalau puan tak rasa macam itu memang dalam pengetahuan puan itu memang Bella. Bukan hantu. Setuju?

Saksi: Setuju.

Sementara itu, Farhan turut mencadangkan kepada saksi bahawa Siti Bainun ada mengupah seorang penjaga untuk menjaga Bella di rumah ketika beliau dan penghuni lain keluar berhibur.

Suhana bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman itu sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Bella telah ditinggalkan keseorangan beberapa kali ketika semua penghuni keluar.

Dalam sesi soal balas itu, Suhana tidak bersetuju dengan cadangan Farhan bahawa dia tidak pernah menyaksikan Bella didera.

Menurut Suhana tindakan menyuruh Bella berdiri berjam-jam lamanya serta melihat sendiri remaja Sindrom Down itu diberi makan cili merupakan satu bentuk penderaan yang dilalui oleh Bella.

Bagaimanapun Suhana bersetuju dengan cadangan peguam bela tersebut bahawa beliau tidak pernah nampak Bella disiram dengan air panas, disuruh makan najis mahupun dipukul secara fizikal oleh Siti Bainun.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Khamis ini.-MalaysiaGazette