medical officer MO on-call
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Fasiliti kesihatan swasta boleh meminjam bekalan ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta yang lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat bagi kegunaan kecemasan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dalam masa sama fasiliti kerajaan perlu memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan harian.

Selain itu katanya, sekiranya perlu pesakit boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan.

“Namun demikian, pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.

“Pesakit boleh membeli ubat-ubatan tersebut dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik/hospital swasta berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjelaskan penyelesaian isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti.

Khairy berharap langkah itu dapat memberi penyelesaian sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ke fasiliti kesihatan swasta.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan perkongsian maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan tersebut dengan pihak pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.

Katanya, langkah ini dilakukan untuk mengurangkan impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif, yang masih
mempunyai bekalan di pasaran.

Menurut Khairy, pemantauan berterusan dibuat KKM untuk memastikan ketersediaan ubat-ubatan di seluruh negara. -MalaysiaGazette