Tan Sri Lee Kim Yew

KUALA LUMPUR – MCA telah menggantung keahlian ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew sebagai ahli parti itu berkuat kuasa selama setahun kerana didakwa mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Taikun itu memaklumkan surat penggantungan itu dihantar dan diserahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Datuk Chong Sin Woon atas arahan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam kenyataan di sini, Kim Yew berkata, dalam perbincangannya tadi, Sin Woon bersetuju untuk mengatur pertemuan antaranya dan Ka Siong.

Kim Yew berpendapat, walaupun keahliannya digantung, beliau masih boleh melakukan bahagiannya untuk menyumbang kepada parti dan masyarakat Cina.

Kedua, Sin Woon juga telah berjanji MCA akan menyiasat berhubung Cheah Chyuan Yong yang dikatakan menyimpan surat Jawatankuasa Pusat MCA yang perlu dihantar kepada Kim Yew untuk menghadiri sesi pendengaran sebelum ini dan menyebarkannya hingga Kim Yew dihubungi media sehari sebelum menerima surat berkenaan.

Mengulas mengenai surat penggantungan itu, Kim Yew tidak bersetuju dengan tindakan MCA dan akan merayu kepada Jawatankuasa Pusat. – MalaysiaGazette