Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Minggu lalu menyaksikan aliran keluar yang banyak daripada Bursa Malaysia apabila pelabur asing bersih menjual RM436.9 juta ekuiti tempatan.

Jualan itu merupakan paras yang tidak pernah dilihat sejak Disember 2021.

Akibatnya, penanda aras FBMKLCI susut sewajarnya – merosot setiap hari untuk ditutup di bawah 1,500 mata tanda pada hari Jumaat.

MIDF Research berkata, pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari dagangan dalam seminggu dari Selasa hingga Jumaat, meneruskan aliran jualan bersihnya yang bermula dari Khamis sebelumnya (2 Jun) – jualan bersih enam hari berturut-turut.

Bursa ditutup pada hari Isnin sempena cuti umum hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hari jualan bersih paling ketara oleh pelabur asing ialah hari Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM189.1 juta dan RM183.2 juta.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur institusi menjadikan pembeli bersih sekali lagi pada minggu lalu dengan belian sebanyak RM244.9 juta, selepas menjadi penjual bersih selama empat minggu berturut-turut.

Pelabur runcit pula merupakan pembeli bersih sebanyak RM192 juta.

Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 23 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.96 bilion.

Manakala pelabur institusi tempatan memulakan minggu lalu sebagai penjual bersih sebanyak RM12.2 juta pada hari Selasa sebelum menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu.

Hari belian bersih paling kukuh ialah pada hari Khamis sebanyak RM129 juta.

Pelabur institusi telah menjadi penjual bersih selama 19 daripada 23 minggu tahun ini.

Sehingga kini, pelabur institusi telah menjual sebanyak RM8.27 bilion ekuiti.

Tambahnya, pelabur runcit pula adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Rabu, apabila mereka bersih menjual RM3.4 juta ekuiti.

Hari belian bersih paling kukuh ialah hari Jumaat dengan jumlah RM91.5 juta. Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 23 minggu 2022 dan membeli sebanyak RM1.31 bilion setakat ini.

MIDF Research berkata, tiga sektor yang mencatat jualan bersih tertinggi oleh pelabur asing iaitu sektor kewangan (-RM182.8 juta), utiliti (-RM87.4 juta) dan pengangkutan (-RM76.4 juta).

Satu-satunya sektor yang menyaksikan belian bersih oleh pelabur asing ialah sektor pengguna, penjagaan kesihatan dan hartanah, masing-masing berjumlah RM23.6 juta, RM7.2 juta dan RM4.8 juta.

Katanya, dari segi penyertaan, hanya pelabur runcit yang menyaksikan pertumbuhan mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) pada 0.32%.

Pelabur institusi dan pelabur asing pula, masing-masing merekodkan pengurangan 20.67% dan 56.81%. – MalaysiaGazette