Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran menjual biskut berperisa ganja dan pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Lembah Klang tumpas dengan penahanan tujuh suspek lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Bandar Manjalara Kepong, serta Batu Caves pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, hasil risikan yang dijalankan, dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun pada jam 4 petang Rabu lalu di kawasan kondominium di Bandar Manjalara Kepong, dekat sini.

“Hasil dari serbuan pertama, pihak polis menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 13 gram di dalam poket seluarnya.

“Berpandukan maklumat daripada suspek, pasukan serbuan yang telah membuat pemeriksaan menyeluruh di sebuah unit kondominium yang menemukan 15 ketulan mampat ganja seberat 14.98 kilogram.

“Dalam serbuan sama turut menemui dua bungkusan yang mengandungi 12 biskut berperisa kanabis seberat 230 gram yang mempunyai kertas berpelekat “HAPPINESS BEGINS WITH A WONDER CAKE” serta lima paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki Methamphetamine seberat 65 gram” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Menurut Eng Lai, pihaknya juga merampas dua rantai leher dan sebentuk cincin warna kekuningan serta wang tunai berjumlah RM2,400 dipercayai hasil jualan dadah.

Jelas beliau, hasil soal siasat terhadap suspek terbabit membawa kepada serbuan kedua di Jalan Lintang Batu Caves pada jam 5 petang 9 Jun lalu.

Menurut Eng Lai, susulan serbuan itu pihak polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 dan 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta milik suspek menemui 10 ketulan mampat ganja seberat 9.94 kilogram di tempat duduk penumpang bahagian belakang.

“Dalam serbuan sama pihak polis turut merampas satu rantai leher beserta lokat, dan sepasang subang berwarna kekuningan dan wang tunai berjumlah RM1,500 hasil jualan dadah” katanya.

Bertindak menerusi soal siasat suspek pada serbuan kedua, pihaknya menyerbu sebuah kondominium Jalan Bandar Manjalara, dekat sini, pada jam 7 petang hari yang sama.

Serbuan ketiga berjaya menahan empat lagi lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 23 hingga 24 tahun, ujarnya.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik dadah jenis Methamphetamine seberat 5.40 gram, dua paket pil Ecstacy seberat 2.86 kilogram, dan wang tunai berjumlah RM2,100 dipercayai hasil jualan dadah.

Menurut Eng Lai, keseluruhan nilai rampasan dadah hasil daripada ketiga-tiga serbuan itu adalah RM248,490 yang boleh menampung 15,798 penagih.

Jelas beliau, modus operandi sindiket itu adalah mengambil tempahan awal biskut ganja daripada seorang pembekal di sekitar Lembah Klang sebelum diedarkan kepada pembeli di laman media sosial pada harga RM100 sebungkus.

Ujarnya, polis sedang giat mengesan pembekal yang terbabit dalam proses menghasilkan biskut ganja itu.

Hasil daripada ujian saringan yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapat tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja/THC.

Tambahnya, semakan yang dilakukan empat suspek mendapati beliau mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Kesemua suspek direman selamah tujuh hari bermula Khamis lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette