Ayob Khan (kiri) menunjukkan ganja bernilai RM2.12 juta yang dirampas pihaknya di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN –  Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan ganja dari Thailand yang menggunakan laluan laut dan darat selepas menahan lapan suspek dalam dua serbuan berasingan di Seberang Perai Selatan  di sini baru-baru ini.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat lalu bermula pukul 10.50 malam hingga Sabtu jam 1 pagi membawa kepada rampasan 840 kilogram (kg) ganja yang dianggarkan bernilai RM2.12 juta.

Ayob Khan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua lapan tangkapan itu terdiri daripada enam lelaki tempatan manakala dua lagi warga Thailand berusia lingkungan 35 hingga 59 tahun.

Jelas beliau, serbuan pertama dilakukan di Sungai Bakap ketika tujuh suspek berkenaan sedang memunggah ganja di sebuah lori manakala suspek kelapan diberkas di kawasan perumahan di Simpang Ampat.

“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini menyeludup masuk ganja dari Satun, Thailand melalui perairan menggunakan bot sebelum mereka memindahkan bahan terlarang itu menggunakan lori untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.

Ayob Khan (depan) menunjukkan lori yang digunakan sindiket untuk menyeludup ganja.

“Secara keseluruhan dalam serbuan itu sebanyak 848 ketulan mampat ganja dirampas bersama sebuah lori serta beberapa kenderaan lain yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta.

“Selain itu, rampasan ini juga merupakan rampasan ganja terbesar Pulau Pinang bagi tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang  hari ini.

Tambah Ayob Khan, semakan lanjut mendapati sindiket itu aktif sejak penghujung 2021 dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan untuk 1.68 juta penagih.

“Siasatan lanjut juga mendapati lima daripada suspek tersebut positif dadah. Selain itu, lima suspek yang diberkas juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 11 Jun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan menegaskan, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak ganja akan diseludup masuk ke dalam negara selepas Thailand menghalalkan dadah itu di negara mereka. – MalaysiaGazette