Peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat hadir bagi mengikuti perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya peguam pemerhati yang mewakili Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Iskandar dalam kes melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd RazaliĀ  membuat teguran kepada pihak pendakwa raya (DPP).

Peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat hari ini meminta pihak pendakwa raya supaya bersikap telus dalam senarai saksi yang akan dibawa ke mahkamah.

Ini berikutan tindakan pihak pendakwaan yang menunda dua kali kehadiran mangsa iaitu Bella ke mahkamah bagi prosiding pengecaman.

“Kami difahamkan dalam jadual ada ditulis mahu membawa Bella sebagai proses pengecaman namun pada saat akhir diberitahu Bella tidak dapat hadir.

“Kalau kali pertama kami boleh terima kalau keadaan Bella tidak mengizinkan itu pun perlu diberitahu kepada semua pihak.

“Pada hari ini pun kita diberitahu dalam jadual seharusnya Bella hadir untuk proses pengecaman tetapi dipinda tanpa pengetahuan pihak terlibat.

“Saya fikir tidak boleh main hide and seek dalam mahkamah. Dalam mahkamah kena telus, tidak bersifat prejudis masing-masing kena berlapang dada untuk memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya kepada media hari ini.

Katanya, peguam pemertati telah telah pun membuat kunjungan ke atas Bella baru-baru ini dan mendapati remaja kelainan upaya itu dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Khairul Anwar menegaskan, pihak pendakwaan perlu memberi kepercayaan bahawa semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan adalah sahabat mahkamah.

Pihak pendakwaan tidak seharusnya meletakkan pihak yang terlibat dalam tertanya-tanya kerana semua mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab dalam kes berkenaan.

“Apabila kita sudah buat lawatan dan Bella telah berkunjung ke tempat lain dalam keadaan sihat dan akhirnya tidak dapat datang dan diberitahu alasan tidak sihat

“Kami berasa curious. Kami rasa sesuatu yang tidak kena kerana DPP tidak memaklumkan kepada pihak lain kenapa Bella tidak datang.

“Semua pihak setuju bahaw DPP ada perancangan tetapi tidak boleh membiarkan pihak lain dalam kegelapan mesti maklum. Kita ada tugas untuk membuat laporan, kita ada tugas kepada mahkamah,” katanya.

Justeru pihaknya pihaknya akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan hakim, pendakwa raya dan peguambela.

Beliau mahu semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan saling berkomunikasi antara satu sama lain.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bella hadir prosiding pengecaman di mahkamah hari ini