Soon Ee (kanan) bersama Arham serta Kon Yeow pada majlis pengumuman pelaburan kilang AMD di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Syarikat semikonduktor TF AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd bakal mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan dengan pembinaan kilang keduanya di Taman Perindustrian Batu Kawan.

Pengarah Urusan, Neoh Soon Ee berkata, kilang yang dijangka siap pada suku pertama tahun depan itu menelan kos RM2 bilion.

“Kemudahan baharu seluas 1.5 juta kaki persegi  dan di kawasan 5.66 hektar itu akan mengeluarkan teknologi litar bersepadu serba maju.

”Kilang ini akan menjadi kapasiti pembuatan syarikat secara keseluruhan yang mencecah lebih 2.3 juta kaki persegi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan rancangan pelaburan tersebut.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

TF AMD Microelectronics merupakan sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan pada 2016 oleh syarikat China, TongFu Microelectronics dan Advanced Micro Devices (AMD) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette