Prof. Dr. Patrick Kee Peng Kong

NILAI – Selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, akhirnya pada Ahad lalu, Manipal International University (MIU) berjaya menganjurkan majlis konvokesyen keempat dalam susana penuh gemilang di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya.

Kali terakhir MIU mengadakan majlis konvokesyen pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Dalam majlis itu, 393 graduan menerima skrol masing-masing, termasuk tiga graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan 16 Ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Manipal GlobalNxt University (MGNU).

Anan (kiri) menerima skrol ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) MGNU.

Sejak majlis konvokesyen pertama diadakan pada 2017, MIU telah menghasilkan sejumlah 1,461 graduan dalam pelbagai jurusan pengajian.

Graduan MIU yang menerima skrol masing-masing adalah di peringkat ijazah pertama dan diploma dalam pelbagai bidang termasuk Kejuruteraan, Bioteknologi, Sains Komputer, Pentadbiran Perniagaan dan Komunikasi Massa.

Masing-masing menerima skrol ijazah dan diploma daripada Pengerusi, Lembaga Governor MIU, Prof. Dr. Jaspal Singh; Pemangku Naib Canselor MIU, Prof. Dr. Patrick Kee Peng Kong; dan Naib Canselor MGNU, Prof. Dr. Chinmoy Sahu.

Graduan MIU selepas menerima skrol ijazah masing-masing.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy; Pengarah Manipal Education Malaysia, Dr. Arun Kumar Beshamber Nath; Presiden Kampus Antarabangsa Manial Global Education Services, Niranjan Jayakumar; Presiden Manipal Academy of Higher Education Dubai, Prof. Dr. Jason Fitzsimmons; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md. Fiah Md. Jamin.

Dr. Patrick dalam ucapannya berharap graduan MIU akan menjadi penyumbang penting terhadap pembangunan negara dan menjadi warganegara yang baik serta menggemblengkan kemahiran keusahawanan.

“Saya juga berharap almuni MIU akan kembali menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan institusi selepas ini,” katanya.

Graduan MIU bersama ahli keluarga selepas menerima skrol ijazah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik) MIU, Prof. Dr. Arokiaraj Pappusamy dalam ucapannya berkata, selain mencapai taraf lima bintang dalam SETARA 2019 bagi kategori universiti yang sedang membangun, MIU turut berada dalam ranking ke-11 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Asean.

Menurutnya, MIU juga menduduki tempat pertama dalam senarai kebolehpasaran graduan di kalangan negara Asean.

MIU menawarkan 32 program ijazah kedoktoran, sarjana dan diploma yang ditawarkan menerusi Sekolah Kejuruteraan dan Komputer (SOEC), Sekolah Pengurusan dan Perniagaan (SOMB) dan Sekolah Bioteknologi (SOBT). – MalaysiaGazette

Penulis, Mohd. Shah Abdullah kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan Komunikasi, MIU, Nilai